By A.Akbar

Aku rasa, buat masa sekarang ini, kita semua sudah terlalu kenal dengan muka-muka juara dalam bidang populariti di Malaysia. Kalau dulu melibatkan muka muka penyanyi yang berkebolehan untuk menyanyi dalam pitch yang tinggi seperti Dato’ Siti Nurhaliza, atau bijak dalam arena komedi seperti Senario, kini Malaysia dikurniakan dengan personaliti-personaliti yang lebih ‘menarik’.

Ayahanda Rani Kulup

Fenomena ini sudah terjadi sejak beberapa tahun lepas lagi. Rakyat Malaysia ini memang suka sedekahkan perhatian kepada manusia manusia yang tak berikan apa apa faedah kepada mereka. Pada tahun 2014 kita ada Kiki CDM25, yang popular kerana membuli seorang warga emas dengan steering lock (sejurus selepas itu Kiki mendapat ‘star treatment’ daripada media). Selepas itu kita ada Rani Kulup, yang membuatkan pihak polis lebih sibuk dari biasa dengan laporan laporannya, dan jangan lupa juga si penggemar coconut shake Encik Dato’ Bomoh, yang mahu bertumbuk dengan Khairy Jamaluddin selepas telah menampar seekor buaya. Kita bernasib baik kerana gosip tentang nama nama yang saya baru sahaja sebut sudah pun surut, tetapi terdapat dua nama yang masih menguruskan sarkas media sosialnya sendiri dengan wang yang banyak – kerana siapa tidak kenal Dato Seri Vida dan Dato Aliff Syukri.

Dato Seri Vida yang tersohor dengan tudung berwarna pink dan pose jari ke pipi bersama taglinenya ‘muah muah’ dan ‘dak eh’ (Sedapnya) merupakan seorang usahawan dari Kelantan. Beliau termasuk dalam golongan usahawan baru yang dipanggil ‘jutawan kosmetik’ bersama pesaingnya, Dato Aliff Syukri. Tiada banyak perbezaan diantara DSV dan Dato Syukri sebenarnya, kedua-duanya usahawan yang sangat berjaya, dan juga pernah berdepan dengan masalah masalah sendiri seperti pembayaran cukai bagi DSV dan kes pembelaan haiwan eksotik yang dikecam netizen oleh Dato Syukri.   

Selain mengaut keuntungan daripada insekuriti wanita yang mahukan kulit yang cantik, saya tiada masalah dengan mana-mana jutawan kosmetik. Cuma, seperti sedia maklum, Dato’ Vida baru sahaja merilis sebuah single bertajuk ‘I Am Me’ yang berjaya menggegarkan bumi Malaysia, secara positif dan secara negatif. Tetapi apa yang ramai tak tahu (atau tak nak ambil tahu), adalah efek yang lagu ini sedang berikan kepada industri, secara terang-terangan atau tidak.

Saya tak mahu katakan lagu ‘I Am Me’ ini teruk dalam mana mana aspek, kerana iyalah, lain orang lain citarasa kan? Tapi suka atau tidak, saya yakin ada lebih banyak lagi lagu lagu keluaran anak Malaysia yang layak menerima perhatian seperti lagu ini. Lagu lagu yang datang dari hati, dari pengalaman manis atau derita. Lagu yang dikompos oleh penerbit yang dedikasikan hidup mereka untuk menghiburkan hati hati rakyat Malaysia yang makin hari makin penat untuk teruskan perjalanannya, walaupun pendapatan mereka tidaklah lumayan. Cuba bayangkan jika media yang juarakan cerita cerita viral sama sama berganding bahu untuk promosikan pemuzik-pemuzik yang layak mendapat perhatian?

Mungkin ekspedisi untuk mencari Yuna baru tidaklah perlu mengambil masa yang lama, atau terus mengorbankan beribu-ribu jiwa dan raga hanya untuk sampai pada standard itu. Ya, jika lagu Dato’ Vida ini tidak meletup, mungkin media media lain akan sibuk bicara tentang siapa kahwin dengan siapa, artis mana yang cemburu, artis mana yang mengumpul setem, tangkap khalwat dan lain lain tapi sekurang kurangnya, lagu seperti ini tidak lah nampak seperti menutup segala titik peluh dan kerja keras pemuzik lain yang hingga kini, menjual EP mereka dijalanan demi sesuap nasi.

Lesap peluang ahli seni lain untuk mendapat perhatian atau apa apa jenis pengikhtirafan kerana rakyat Malaysia terlalu sibuk mentertawakan seorang wanita yang sedang menari di depan kamera dan seorang lelaki yang berlakon sebagai wira super dalam filemnya sendiri, yang juga sedang sibuk mentertawakan mereka balik dengan sukses yang mereka capai. Sudahlah sesetengah rakyat kita tidak memandang serius dengan hasil kerja industri seni tanahair, jika kerja kerja seperti ini terus diberikan perhatian berbanding yang layak mendapat perhatian, sampai bila industri kita akan terus stagnan, bila secara jujurnya, kita boleh berkembang?

Mungkin ramai yang akan cakap ‘eh takpalah, itu kan duit dia jadi suka hati dia lah nak buat apa’. Alangkah indahnya bagi pihak 1% jika semuanya boleh dibereskan dengan ayat itu? Ada duit, boleh settle. Ada duit, boleh selesaikan masalah. Malangnya, ini dunia nyata, dan wang bukan jawapan untuk semua soalan, lagi-lagi dalam aspek imej. Video ini telah ditonton lebih 800,000 kali dan hanya menunggu masa untuk dipetik, direbus, dan dibakar oleh media-media luar negara yang sangat gemar akan berita berita panas tentang Malaysia yang boleh menjadi bahan jenaka untuk rakyat mereka, agar mereka boleh lupa sebentar tentang masalah negara mereka sendiri. Benar, ini bukan salah media, tapi inikah wakil Malaysia di persada dunia? Jika nama negara kita di Google, video viral inikah yang kita mahu dipaparkan pada hasil carian itu bersama MH370, MH17 dan tragedi lain yang tak dapat dielakkan? Adakah wajah industri seni Malaysia akan penuh dengan wajah wajah mereka ini, yang tidak passionate pun tentang seni, dan diangkat sebagai yang terbaik berdasarkan populariti?

Sayangnya, seperti isu isu lain, lama kelamaan rakyat kita akan lupa tentang isu ini, lalu mereka akan terus bertanya, ‘sampai bila industri seni kita tak sampai tahap antarabangsa?’, ‘kenapa lagu sama je yang masuk radio?’ atau yang paling klasik ‘kita ada ke artis lokal yang bagus?’. Kerana realitinya, kebanyakan kita hanya akan betul betul sedar bila industri sudah tenat, wang sudah tiada, dan masa depan sudah gelap. Bukan jutawan jutawan ini tidak boleh berkecimpung dalam bidang seni, semestinya boleh, tetapi kerja seni muzik dan filem lain perlu juga diberi perhatian dan promosi yang secukupnya. Kerana sejujurnya, bolehkah kerja kerja seni seperti diatas, menampung seluruh industri ini? Adakah lagu lagu ini sejajar dengan lagu lagu klasik yang telah membentuk masyarakat kita satu masa dahulu? Entahlah, bak kata pepatah, tepuk dada tanya selera. Tetapi dadaku rasakan, kita berhak mendapat yang lebih baik dari ini.

Leave a Reply