by A.Akbar

Ketepi Jamal Yunos dan Rani Kulup! Kerana seorang lagi bintang sosial media Malaysia telah lahir dari untuk mencuri tumpuan masyarakat dengan kesalahannya sendiri. Kita sudah lama tahu Malaysia banyak melahirkan golongan seperti ini, bermula dengan Kiki Stereng Lock, kepada King Coco – walaupun kedua-duanya sudah ‘bersara’.

Kini tibalah masanya untuk adik Nur Farahanis Ezatty mengisi ruang kosong yang ditinggalkan oleh mereka yang sudah sedar akan kesilapan yang lalu. Farahanis, yang berasal dari Alor Setar, Kedah, 20 tahun, mengaku bersalah kerana menyediakan khidmat pergigian sendiri tanpa mendaftar mengikut Seksyen 27 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) di Bakti Homestay, Jalan Bukit Katil.

Farahanis, atau nama pendeknya, Nara, didenda RM70,000 atau dipenjara enam bulan jika gagal membayarnya. Sejurus selepas dijatuhkan hukuman, Nara bertindak agresif dengan menumbuk dinding – tanda jelas yang beliau tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah terhadapnya kesnya.

Seperti  kes jenayah yang lain, selalunya berita-berita begini akan tenggelam ditelan arus informasi, lagi-lagi kerana kes ini pada asalnya, dikira sudah selesai. Sehinggalah sekumpulan bikers yang memanggil diri mereka Dragon76 tampil untuk memberikan sokongan yang jitu kepada Nara dengan mengupload sebuah video.

 

Walaupun sudah terang bersuluh bahawa cik Nara didapati bersalah, wakil Dragon76 masih memanggilnya seorang ‘mangsa’ dan mengatakan beliau dianiaya sewaktu menemu bual Ayah kepada Nara. Pada minit ke 1.44 juga, seorang wakil PPIM juga turut hadir di lokasi rakaman tersebut (Penjara Sungai Udang) berkata:

‘Isu ini, kita lepaskan dia dulu dengan kerjasama NGO-NGO yang lain, dan selepas itu kita akan buat susulan, atau penyiasatan (terhadap kes ini’.

Kehadiran wakil PPIM menambah lagi kemarahan netizen, lagi-lagi selepas mereka dianggap sebagai wira dalam menyelesaikan kes Boy Iman beberapa minggu yang lalu. Tetapi, PPIM sudah tampil untuk memberi kenyataan rasmi dan menafikan sokongan terhadap jenayah tersebut.

“Tidak dinafikan beliau melakukan kesalahan, namun Nara sudah pun mengaku salah. Pada pandangan saya, tidak salah sekiranya ada NGO (badan bukan kerajaan) atau mana-mana pihak tampil membantunya menjelaskan denda yang dikenakan. Kita perlu ubah sikap terus menghukum. Saya sifatkan, Nara sebagai seorang yang bijak kerana mampu melakukan perkhidmatan pendakap gigi dengan hanya menonton YouTube. Namun kita tidak sokong dengan apa yang dilakukan itu. Sebaliknya PPIM membantu menasihatkan beliau untuk membuka perniagaan lain,” katanya Nadzim, salah seorang pengasas PPIM.

Nadzim juga berkata bahawa dana yang dikumpul untuk Nara bukan dari sumber PPIM, tapi sebuah ‘kelab permotoran’ yang dibantu oleh PPEIM, iaitu Pertubuhan Penggerak Ekonomi Islam. Kes ini menyebabkan nama baik PPEIM, dan juga KKM yang diheret sekali ke dalam ucapan terima kasih Nara di Instagram, tercemar.

Selepas semua ‘damage’ yang Nara telah lakukan, beliau sempat merakamkan video ini:

Walaupun telah melanggar undang-undang, menggunakan dana wang kutipan orang ramai untuk membayar saman RM70,000, dan mencemarkan nama pihak yang tidak terlibat, Nara kelihatan seolah-olah tidak menyesal dengan perbuatan beliau. Malah, beliau nampak gembira sewaktu melemparkan kata-kata: ‘Terima kasih kerana membuatkan saya lebih dikenali, bertambah kaya, dan berjaya.’

Sayangnya, ramai pihak netizen yang menyokong perbuatan beliau atas alasan ‘hanya mencari rezeki yang halal’, ‘tolonglah sama Melayu’, dan ‘kesilapan budak-budak’. Undang-undang ini wujud bersebab, dan bukan hanya untuk menidakkan sumber rezeki seseorang atau hasad dengki semata-mata. Perubatan pergigian, seperti sector perubatan yang lain, hanyalah dapat dilakukan oleh profesional yang telah diiktiraf dalam bidang masing-masing, agar masalah seperti dibawah tidak berlaku:

Nara perlu sedar bahawa beliau sudah melakukan sebuah jenayah yang sudah menyusahkan ramai pihak. Mungkin perasaan bangga itu boleh disimpan untuk hari hari yang lebih penting, seperti hari konvokesyen Nara nanti bila Nara mendapat ijazah yang sah untuk menjadi seorang doktor gigi. Harap Nara dan keluarga belajar dari kesilapan dan tidak menjadi contoh yang tidak baik kepada anak-anak muda diluar sana, yang mungkin mahu mencuba juga.   

Leave a Reply