By The Level

Hanya beberapa bulan yang lalu, Indonesia digemparkan dengan kata kata Ahok, yang mempertahankan haknya sebagai rakyat Indonesia yang sepatutnya boleh dikatakan berbilang bangsa dan agama, untuk diundi pada pilihan raya. Tetapi, kerana beberapa pihak yang tak bertanggungjawab memainkan sentimen agama dalam politik untuk kepentingan sendiri dan parti, Ahok di hentam dan diboikot secara besar besaran oleh beribu ribu extremis agama, yang sesetengah juga pengikut Ustaz Syamsuddin Uba yang merupakan pengikut tegar ketua ISIS, Abu Bakr Al Baghdadi. Disebabkan itu, baru baru ini Ahok telah disumbatkan ke penjara.

Di mata dunia, Ahok hanya melakukan yang terbaik untuk dirinya dan negaranya tetapi di mata mata sekumpulan besar rakyat Indonesia? Mereka memanggilnya ‘penista agama’, pengkhianat Garuda dan sebagainya. Orang orang seperti ini hanya melihat sesuatu perkara melalui satu dimensi dan hanya melihat Indonesia melalui lensa islam. Tiada masalah dengan mengislamkan Indonesia, tetapi tidak semua warga Indonesia percaya akan islam dan Ahok, telah berkhidmat untuk semua – bukan sahaja orang islam.

Di waktu waktu umat Islam dicela dan dimaki di negara barat gara gara aktiviti aktiviti keganasan, segilintir rakyat di negara negara islam yang mengaku ‘aman’ dan ‘harmoni’ pula yang perlahan lahan menunjukkan belang mereka. Jika Indonesia sibuk dengan meletakkan Ahok di penjara, di Malaysia pula ada yang mula menunjukkan sifat sifat yang kurang manis terhadap rakyat bukan islam, seperti kes autobiografi Hannah Yeoh.

Hannah Yeoh bukan lah seorang ‘player’ yang besar di arena politik Malaysia. Tidaklah memainkan peranan sebesar Lim Guan Eng, tidaklah sesenyap Saifuddin Abdullah, dan tidaklah diselubungi kontroversi seperti Dyana Sofea. Tetapi ya, Hannah Yeoh bikin juga kerjanya di Subang Jaya, dan dibawah jagaannya, ada juga perubahan yang kita dapat lihat di kawasan tersebut. Mungkin kesesakan trafik masih di paras membimbangkan, tetapi sekurang kurangnya banyak institusi pendidikan makin mekar di kawasan Subang Jaya yang makin hari makin sibuk dan maju itu.

Seperti autobiografi tokoh lain, dari Alex Ferguson ke Al Pacino, autobiografi Hannah Yeoh, yang kin Speaker Selangor paling muda di usia 34,  tidak ada format. Tidak ada struktur yang kekal. Kalau tidak, isi bukunya akan menjadi bosan bukan? Atau elok dipanggil katalog. Dan memandangkan beliau seorang penganut agama Kristian, bukanlah suatu kejutan jika beliau memasukkan beberapa ayat ayat dari Bible yang mungkin menjadi panduan hidupnya dirumah atau dikerja. Bukankah itu sepatutnya menjadi normal? Seorang manusia, yang memilih untuk percaya akan mana mana agama yang dia mahukan, dan jika dia berjaya, mungkin memberikan ‘tribute’ kepada agamanya yang ditauti olehnya dikala waktu sukar?

Tetapi seperti biasalah, di era Facebook ini, jika terdapat hal hal atau isu isu yang mereka kurang faham, mulalah mereka menggelabah, mulalah panik, dan yang paling biasa – buatnya viral atau melaporkannya kepada pihak polis (Jangan lupa abang Kulup kita yang boleh menjadi pemegang Malaysia Book of Records dalam segmen Laporan Polis Paling Banyak Pernah Difailkan). Seorang ahli akademik Universiti Utara Malaysia (UUM) hari ini berkata buku Hannah Yeoh yang bertajuk ‘Becoming Hannah’ yang dibelinya mampu mengubah dirinya sehingga terdorong terhadap ajaran Kristian.

Jika kita hidup di Malaysia pada abad ini, bukankah kita patutnya lebih tahu menahu tentang agama lain? Penganut Kristian melalui fasa ‘Lent’, umat Islam menjalani ibadah puasa, dan Hari Wesak melambangkan hari ‘Kelahiran’? Jadi patutnya, ayat ayat suci agama lain tidak perlulah membuatkan anda ‘butthurt’ sangat. Bagi umat islam, sudah ramai rakyat Malaysia yang bukan islam yang sudah biasa dengan ayat ayat al-quran seperti ‘bismillahirrahmanirahim’. Tiada pun mereka merungut iman mereka akan tergugat dikala membaca ayat tersebut? Kenapa tiba tiba pensyarah ini, yang patutnya menjadi contoh terbaik kepada anak anak muda, begitu rapuhnya imannya sehingga melaporkan kepada polis?

Walaupun reputasi Indonesia sebagai negara berbilang kaum sedang dibakar hidup hidup oleh media barat dan media mereka sendiri, sekurang kurangnya mereka memberi lebih peluang untuk rakyatnya untuk mempercayai apa apa agama yang mereka inginkan. Syarahan katolik di televisyen, sambutan krismas secara besar besaran, dan banyak lagi. Disini? Tiap tiap tahun di ambang Krismas saja akan ada Lebai Facebook yang meniupkan semboyan ekstremis dengan mengatakan ucapan ‘Merry Christmas’ itu hara m, lambang salib pula harus diturunkan atas alasan ‘anak anak Melayu akan terpesong’ dan yang terkini, membunyikan hon ketika solat jumaat pun dipukul ramai ramai dan diheret keluar kereta.

Inikah nama Malaysia yang kita mahu bawa ke persada dunia? Nama yang cantik diluaran tetapi rakyatnya bergolak gara gara perbezaan agama. Mengapa kita tidak boleh hormat sesama rakyat Malaysia, dan memberikan semua warga peluang untuk praktikkan agama mereka, di mana saja? Tidak ada kemajuan tanpa kesatuan, tidak ada persahabatan tanpa persefahaman dan tiada siapa yang akan hormat kita, jika kita tidak hormatnya dahulu.   

Leave a Reply