Jika Dato’ sedang membaca, assalamualaikum saya ucapkan. Minggu lepas saya ada tertengok video Dato’ bersama keluarga makan di tepi sebatang jalan di Zurich, Switzerland. Kasihan saya tengok nasib Dato’, sehingga di kritik teruk Chef Wan di page instagram Dato’ sendiri. Jadi sebagai seorang insan yang bersimpati terhadap keadaan Dato’, saya dengan besar hatinya mahu berkongsi lima restoran halal di Switzerland khas untuk Dato’. Insyallah, selepas ini Dato’ tidak lagi perlu duduk di tepi jalan untuk sesuap nasi di negeri orang.

 

Yalla Habibi

 

Yalla Habibi! Restoran ini menyajikan masakan yang sungguh menyelerakan. Dari doner kebab ke shish tawook cicah hummus, Yalla Habibi menjual makanan yang sempurna untuk memanaskan badan dikala cuaca Zurich bertambah sejuk. Jangan risau tentang status kehalalan restoran ini, kerana semua makanan haram Tabbouleh dibawa masuk!

Alamat: Meinrad-Lienert-Str 27, 8003 Zürich, Switzerland

 

Sahar Restaurant

 

Kalau dah boring makanan Arab, Sahar Restaurant pula menyediakan masakan India. Yang bagus tentang Sahar Restaurant, tempat ini disambut meriah oleh warga Switzerland sendiri. Jadi anda tahu restoran ini bukanlah sebuah ‘tourist trap’ yang akan membaham bajet anda. Jika anda ingin berkunjung ke sini, cubalah Dum Briyaninya dan di hari hari tertentu, Sahar Restaurant akan menyediakan buffet untuk pengunjungnya.

Alamat: Richtipl. 3, 8304 Wallisellen, Switzerland

 

Tassnim Orient

 

Jika anda tak kesempatan untuk melancong ke Lebanon dan Morocco, jadi Tassnim Orient merupakan tempat yang paling ideal untuk anda mencuba satu fragmen kecil daripada tradisi masakan mediterranean Tassnim Orient yang sangat menarik. Tassnim Orient menyediakan makanan yang agak serupa dengan makanan Arab, tetapi sedikit berbeza dengan yang biasa. Hummusnya ada cara tersendiri, dan mungkin lebih masam dari cara masakan negara mediterranean lain. Cubalah!

Alamat: Zürichstrasse 36, 6004 Luzern, Switzerland

Napoli Pizza

 

Kalau yang ada mengidam pizza tapi tak pasti restoran mana yang sediakan pizza halal, bolehlah ke Napoli Pizza. Ya, agak aneh jika anda fikirkan lokasi Napoli Pizza yang bukan di Napoli, tapi di Switzerland – boleh percaya ke? Boleh, kerana kedai ini dimiliki oleh seorang usahawan muslim yang sudah lama menetap di Switzerland. Selain pizza, kedai ini juga menjual kebab, seperti kedai kedai halal yang lain! (haha)

Alamat: Bahnhofstrasse 22, 3800 Interlaken, Switzerland

My Kitchen

 

Jika anda jenis yang tak adventurous langsung pergi melancong luar negara dan rindukan makanan Malaysia, jangan khuatir kerana My Kitchen ada untuk anda. Disini, anda bolehlah melepaskan rindu anda terhadap makanan makanan Malaysia seperti char koay teow, nasi ayam dan rojak, walaupun anda menetap di Switzerland untuk seminggu sahaja. Dan yang paling penting, anda tidak perlulah bersila di tepi jalan untuk menikmati makanan halal yang bersih lagi lazat di Switzerland.

Alamat: Franklinstrasse 6, 8050 Zürich, Switzerland