By Shazwan Zulkiffli

Pilihan raya ini merupakan pilihan raya pertama aku. Walaupun aku sudah laburkan segala jenis emosi untuk pilihan raya yang lepas, umurku ketika itu masih tidak cukup untuk memberikan sumbangan pangkahku untuk mana-mana pihak. Tapi masih segar dalam ingatanku, apabila pembaca berita saluran perdana mengesahkan Barisan Nasional bakal memerintah untuk 4 tahun lagi, hampir semua kenalanku berkabung, dan berdendam. Dendam yang pada pilihan raya ke-14 nanti, kami akan balas kembali dengan mengundi keluar Najib Razak dan konco-konconya. Itu janji kami, dan setiap hari sejak hari itu, kami simpan janji itu kemas-kemas di dalam hati kami, walau digoda janji, walau dibelai BR1M, walau diugut mati, kami tahu akan beza langit dan bumi.

Pada malam sebelum pagi keramat itu datang, Barisan Nasional masih nampak gah di mata pakar analisa politik di dalam negara mahupun di luar, yang menjangkakan bahawa mereka akan menang besar kali ini, mungkin lebih besar dari PRU13. Walaubagaimanapun, angin perubahan itu kuat, dan susah untuk kita endahkan – sehinggakan Najib Razak pun merasa gusar akan semangat yang semakin marak bak kebakaran hutan, lalu menggunakan taktik terakhir dengan janjinya untuk menolak tepi cukai pendapatan buat belia berumur 26 tahun dan kebawah. Tun Dr Mahathir pula, yang berucap di hadapan penyokongnya di Langkawi, naik ke atas pentas dengan tangan kosong – tanpa dedak, tanpa gula-gula – hanya seruan dan harapan untuk rakyat membuat pilihan yang terbaik untuk Ibu Pertiwi. Jelas, Najib Razak masih di hadapan ketika ini.

Baru sahaja 8 pagi, barisan saluran mengundi sudah kelihatan di dewan-dewan serata Tanah Air. Aku yang mengundi di Kota Anggerik, Shah Alam, sempat melihat rakan-rakan dan jiran-jiran yang sebelum ini tidak pernah kisah tentang hal-ehwal politik Malaysia, tiba dengan harapan dan selfie-selfie bersama jari berdakwat. Anak-anak muda yang membanjiri dewan-dewan sekolah mengingatkan aku akan sale jenama tudung butik, atau jualan permainan minions di McDonald’s – tapi bezanya kali ini tiada keluhan sama sekali.

Sayangnya, siapa aku untuk mengharapkan sebuah perubahan? Hanyalah satu orang rakyat yang sedar akan taktik-taktik kotor yang telah digunakan oleh kerajaan untuk memastikan kemenangan homerun mereka. Dari Gerrymandering, akta #fakenews, hinggalah gelagat SPR pada hari mengundi, hampir mustahillah pilihan raya ini akan berpihak kepada rakyat. Tapi hidup ini gila, kan?

Walau jam sudah lebih 10 pm, kami masih tercegat di depan televisyen, menunggu keputusan akhir PRU14. SPR mengambil masa yang agak lama untuk mengira, walaupun tidak memberi lebih masa untuk rakyat mengundi. Ketika itu, kita sudah boleh perlahan-lahan lihat perubahan itu berlaku didepan mata – rakyat sudah hilang sabar dan makin berani, hinggakan macam-macam jenis cerita sudah keluar di sosial media. Dari cerita rusuhan di Pandamaran dan Skudai hinggalah cerita pegawai SPR yang diikat dengan kunci basikal di Setia Alam, kesemua cerita-cerita ini menambahkan lagi suspen penantian untuk keputusan akhir SPR. Di media saluran perdana pula, nada komentari juga sudah mula berubah, bermula di Astro Awani. Pada awalnya, panel yang dijemput oleh mereka hanya berdansa keliling topik yang dibincangkan tetapi Karim Raslan, salah seorang panel tersebut, memulakan sesi mengkritik SPR dengan ucapan yang cukup brutal dan jujur, langsung terus ke seluruh negara tanpa rasa takut dan risau. Reaksi pegawai SPR yang menggelabah di kaca TV pula membuatkan situasi ini makin tenat dan dari situ, kebanyakan  rakyat sudah tahu, bahawa besar kemungkinan, mentari baru bakal menyambut pagi kita esok. Pagi itu, kokokan ayam bagaikan sangkakala buat Barisan Nasional, kerana selepas 60 tahun, Malaysia kembali kepada rakyatnya.

Lazada Malaysia

Berbekalkan sebuah playlist Spotify yang dirangka khas untuk PRU14, aku pun pandu turun ke Istana Negara bersama isteri dan rakan-rakan. Bukan untuk concert, bukan untuk melawat, tapi hanya untuk merasai angin revolusi itu dengan setiap deria kami sendiri. Bukan kami kenal pun uncle yang sapa kami, bukan kami kenal pun akak yang lambai-lambai pada kami setiba kami di sana, tapi berada di situ, rasanya seperti meraikan sebuah kemenangan dengan keluarga, keluarga yang kulitnya bermacam-macam warna, yang bahasanya pun kau tak 100% faham. Sudah lebih dua dekad aku berpijak di bumi ini, tapi inilah pertama kali aku merasa sebegini. Bebas? Merdeka? Puas hati? Aku tak tahu. Aku tidak cukup pengalaman untuk betul-betul terangkan perasaan ini, tapi diiringi dengan lagu dan tangisan, aku dapat jamin yang perasaan ini real, perasaan ini wujud, dan tanpa turnout anak muda yang merangkumi 41% (peratusan terbesar) daripada jumlah peratusan pengundi, kemenangan ini mungkin tidak akan jadi realiti.

Lazada Indonesia

Jadi orang tua-tua yang pernah fitnah kami anak muda sebagai malas, lembab, dan hanya minat bermain dengan media sosial/permainan video, kami telah buktikan pada negara yang kami mampu membuat perubahan. Persetankan ura-ura, bukti didepan mata, dan masa depan negara? Kini jelas milik anak muda.