By Shazwan Zulkiffli

Seperti biasa bila aku free, barulah dapat melepak mamak dengan kawan-kawan. Walaupun selalunya suku dari meja kami akan fokus main Mobile Legends, selebihnya akan gosip ala Makcik Bawanglah, macam topik feminisme, cerita-cerita Kelantan atau, apa-apa yang jadi perbualan di Twitter. Tapi sejak demam PRU semakin panas, sesi lepak lama-lama sudah menjadi macam sesi debat: seorang tidak mahu bekas diktator berumur 90 tahun ‘pegang’ Malaysia balik, yang seorang lagi pula sudah sangat terdesak (dan mendesak) untuk tukar kerajaan, walaupun katanya pilihan kita hanyalah seperti memilih antara Pepsi dan Coca-Cola.  

Sayangnya bila aku tanya setiap seorang lokasi mengundi mereka, hanya seorang saja yang dapat jawab, yang lain terdiam, jadi aku tertanya-tanya kenapa begini? Jawapannya kerana mereka tidak percaya yang undi mereka itu penting. Yang paling pelik, Halim (bukan nama sebenar), pendebat yang paling bising sekali, memberi alasan ‘malas. dia kata undinya tidak  mengubah apa-apa pun nanti’ – alasan yang aku langsung tidak terima.

Tapi patut ke aku salahkan mereka 100%? Azman, yang mata dia terkunci pada Mobile Legends, seorang lelaki bangsa Melayu yang tidak pernah susah langsung dalam hidupnya. Ayahnya seorang Dato’, maknya pula jual tudung ekslusif kecil kecilan dan moment yang paling susah buat Aiman bila kereta Honda Civicnya tak boleh start, terpaksa tunggu tow truck datang menyelamatkannya selama 3 jam di kaki bukit di Genting. Sama juga dengan Aiman, graduan UiTM yang dapat enroll masuk walaupun keputusan SPMnya sangat teruk – hanya kerana bapanya ada ‘cable’ dalam UiTM. Itu belum Mirul dan Saiful, dan pendebatan tentang politik bermula secara tiba-tiba bila ternampak video Uncle yang tanggal dan campakkan bendera parti politik yang baru saja dinaikkan di TTDI. Jujurkah perbualan tentang ‘perubahan’ ini ataupun selama ini masing-masing selesa, dan hanya berkelakuan begini sebab ‘trend’? Kerana jika mana-mana pihak menang, mereka tetap akan rasa selesa, jadi kenapa mereka perlu kisah?

Lazada Malaysia

Dikala lemparan sarkasma melayang-layang, Timothy pula senyap, dan hanya mendengar perbualan kami semua dengan sabar dan teliti. Jelas, beliau kelihatan sedikit tidak selesa dengan kata kata yang ditutur oleh Halim, yang masih paling bising di meja kami hingga kakak-kakak hijabista meja sebelah pun sudah jeling-jeling. Halim tersedar akan sikap Timothy yang langsung tak suarakan apa apa, dan bertanya:

“Kau dah kenapa Tim? Senyap je?”

Pada mulanya Timothy enggan mengaku yang beliau sedang menghadapi masalah tapi selepas pujukan dari kami, barulah dia buka cerita bahawa adiknya Alan, yang mendapat 10A untuk SPM, masih tidak dapat mana-mana tawaran dari kolej dan universiti tempatan setelah aplikasi biasiswanya ditolak beberapa bulan lepas. Alan, yang asalnya mahu mengambil jurusan medik, kini hampir putus asa dan sudah pun memikirkan alternatif lain, seperti menjadi pemandu Grab atau penjual minyak wangi. Adakah kerana bangsa Alan tidak tergolong dalam bangsa yang menerima keistimewaan untuk ditolong, atau Alan ada bad luck? Kerana usaha bukanlah isu di sini.

Barulah mereka semua senyap, hanya bunyi kipas, kuali, dan bibit-bibit suara manusia dari jauh saja kedengaran. Azman yang sibuk dengan Mobile Legendsnya menutup tabnya, dan menyalakan rokok, manakala yang lain tertunduk malu sambil mengacau ais yang cair menggunakan straw pada minuman masing-masing. Dikala inilah jejaka-jejaka di meja ini, yang sebelum ini cukup tidak kisah, cukup tidak faham, cukup tidak ambil peduli tentang ‘politik Malaysia’ ini, seperti mendapat hidayah dari Ilahi bahawa undi mereka bukan hanyalah untuk diri mereka, tapi untuk orang lain yang mungkin tidak bernasib baik seperti mereka, untuk yang tidak ‘berpeluwang’, dan untuk yang sangat perlukan perubahan, seperti Alan.

‘Kau rasa kalau kita tukar government, kita boleh tolong orang macam Alan?’ kata Azman.

‘Cuba tengok macam mana pihak pembangkang tengah berpecah-belah ni. Kau rasa depa mampu ke nak buat perubahan woi?’ Halim membalas.

Perang mulut bermula lagi, dan mungkin kali ini lebih agresif. Tapi kali ini juga, lain sedikit: tona mereka, contoh-contoh yang Azman gunakan untuk membidas Halim, alasan-alasan yang Halim gunakan untuk memperkukuhkan pendapatnya, bukan lagi untuk aku, saya dan bukan lagi menuding jari kepada kau dan kamu, tapi mahukan yang terbaik untuk semua.

Kini tarikh pilihan raya sudah pun disahkan, dan aku harap diskusi hangat itu bukanlah Cerita Kedai Kopi sepertimana lagu maliQue, DJ Fuzz dan Salammuzik itu. Aku harap, cerita yang ditemani kopi ais, barli panas dan papadom itu, akan bersambung, di lokasi mengundi, 9 haribulan Mei nanti.