by A.Akbar

Tiga tahun yang lepas, Joe Flizzow ada menulis  sebuah lagu yang ditujukan kepada beberapa golongan masyarakat termasuklah peminat peminat yang masih bertanyakan tentang reunion Too Phat dan hatersnya. Sejujurnya, lagu tersebut boleh dikatakan antara lagu yang terbaik dalam album ‘HAVOC’ yang digilai ramai ketika itu, dan secara personal, lagu ini telah berikan lebih impak kepadaku daripada lagu-lagu yang lain. Mungkin juga kerana adanya suara Zamaera, yang ketika itu masih segar dari Kartel. Aku tak berapa minat nak bezakan kehebatan suara-suara artis tanah air, tapi kehadiran Zamaera seperti tetamu yang datang ke rumah tanpa ketuk pintu, tanpa beri salam, dan terus campakkan satu hadiah di atas meja. Hadiah tersebut adalah bakatnya – yang merdu dan seakan-akan ada jaminan bahawa suara ini akan kembali mewarnai scene dengan caranya tersendiri nanti.

Fast-forward ke 2016, landskap hip-hop pun dah banyak berubah. Perlahan-lahan, ramai otai-otai sudah jadi lagenda, rapper yang dahulunya mentah sudah menjadi otai, dan peminat-peminat hip-hop yang asalnya hanya breaking bars di depan cermin bilik, kini sudah berani uploadkan hasil titik peluh mereka ke Soundcloud. Jenama minuman bertenaga seperti Red Bull Product of Europe pun memberi lebih kepercayaan kepada genre ini – sehinggakan Red Bull Blend, pertandingan rap-battle, dianjurkan di Kuala Lumpur. Di situlah pertama kalinya aku dapat lihat Zamaera beraksi di depan mata kepala aku sendiri, yang mengalahkan 7 rapper-rapper lelaki untuk berhadapan dengan Ashtin di peringkat akhir pertandingan tersebut. Walaupun Zamaera tewas di tangan Ashtin,  dia tetap memenangi hati-hati semua peminat-peminat muzik di hadapan stage tersebut – tak kiralah panel juri, VIP, dan rapper lain. Di situlah bermulanya minat aku untuk mengikuti perkembangan Zamaera, the next big thing in the hip hop industry.

Tak lama selepas itu, ‘Helly Kelly’ datang bagaikan ribut secara tiba-tiba. Music videonya sempat menghiasi Facebook wall kita semua ketika ia masih panas dan kini, video tersebut telah di tonton lebih 60,000 kali. Lagu tersebut adalah faktor utama Zamaera menjadi bualan hangat di arena hip hop, dan sering dibandingkan dengan Nicki Minaj atau Cardi B walaupun untuk aku, Zamaera ada gayalnya yang tersendiri.

Dari menjelajah Asia bersama alextbh dan Airliftz kepada menjadi tetamu VIP di atas pentas VANS, rancangan Zamaera sudah cukup efektif untuk mengambil langkah keduanya – menulis lagu dalam Bahasa Malaysia. ‘Wanita’ ditulis untuk bukan sahaja menunjukkan bakat Zamaera dalam menulis lirik Bahasa, tetapi sebagai satu ‘call-to-action’ untuk wanita-wanita di Malaysia agar kenal diri sendiri dan berdikari. Dari awal lagi Zamaera telah pamerkan ciri ciri seorang ahli seni yang boleh beri inspirasi kepada  wanita-wanita lain, dengan keyakinannya di atas pentas dan berdepan dengan kritikan dengan cara tersendiri. Dari liriknya, kita boleh tahu yang Zamaera tidak takut, gentar, atau hiraukan apa-apa kritikan yang dilontarkan kepadanya.

Untuk aku, Zamaera berjaya pamerkan  bahawa artis rapper wanita bukan sahaja penghias lagu di antara dua verse, tetapi boleh memainkan peranan yang lebih dari itu. Tiba masanya untuk ramai lagi artis-artis rap wanita untuk keluar dengan beraninya dari zon selesa dan tunjukkan bakat kepada dunia. Mulut orang susah nak ditutup dan haters akan tetap ada walau apapun yang terjadi, tapi selepas langkah pertama h diambil, langkah kedua tidak akan terasa terlalu berat.

Harap kita dapat mendengar lebih banyak lagu dari Zamaera!